KEPERLUAN DAN KELEBIHAN HIDUP BERJIRAN

Bagi memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat, maka semestinya terlebih dahulu kita menyedari keperluan dan kelebihan hidup berjiran. Di antaranya:

1. Bantuan ketika kecemasan
Jiran adalah orang yang paling hampir dengan tempat tinggal kita. Segala perkara yang berlaku ke atas diri kita, ahli keluarga, harta benda dan sebagainya terlebih dahulu diketahui oleh jiran.
Justeru, jiran adalah orang yang paling dekat untuk memohon pertolongan pada saat kita ditimpa bencana atau musibah seperti kebakaran, kecurian, kemalangan, kematian dan lain-lain.

Alangkah beruntungnya mereka yang mempunyai jiran yang sedia menolong pada bila-bila masa.
Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan, sementara menunggu bantuan pihak-pihak berwajib atau sanak saudara. 

Hanya jalinan dan kemesraan yang kuat antara jiran akan dapat melahirkan suasana seperti ini. 

2. Menambah kenalan
Mempunyai jiran yang berbeza latar belakang seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan, budaya, adat resam dan sebagainya akan menambahkan lagi pengetahuan dan kenalan kita. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ``Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali.'' (Al-Hujurat : 13) 

Mempunyai kenalan yang ramai dan rapat lebih-lebih lagi hidup berjiran banyak memberi manfaat kepada kita. Di antaranya mendapat tunjuk ajar dan nasihat dalam sesuatu bidang ilmu atau kepakaran lain yang dimiliki oleh jiran kita. 

3. Menjamin keselamatan setempat
Jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada sebarang ancaman kecurian, pecah rumah, penyalahgunaan dadah, penculikan, samseng dan sebagainya. 

Ini dapat dilakukan sama ada melalui Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan Kawasan atau kempen-kempen kesedaran. Budaya bantu membantu seperti inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ``Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.'' (Al-Maidah : 2) 

4. Menjaga keharmonian masyarakat
Segala perkara yang mencemar keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama, prihatin dan kesatuan sesama jiran. 

Gejala-gejala sosial seperti khalwat, penderaan kanak-kanak, dan banyak lagi kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. 

Adakah kita perlu menunggu sehingga gejala tersebut menimpa ke atas ahli keluarga kita, barulah kita hendak memperkukuhkan hubungan sesama jiran? 

Bukankah elok dan bijak sekiranya kita beringat sebelum terjadi, bak kata pepatah Melayu `sediakan payung sebelum hujan'.

Oleh itu, membina ikatan yang kuat sesama jiran adalah syarat utama bagi menjamin keharmonian masyarakat dan kawasan yang kita diami.

5. Menjaga kebajikan penduduk setempat
Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain, sudah semestinya dapat menjana satu program atau aktiviti yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat setempat.

Pelbagai jawatankuasa boleh diwujudkan seperti jawatankuasa kemajuan pembelajaran anak-anak, jawatankuasa pembangunan insan dan lain-lain bagi tujuan menganjurkan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti kem motivasi, program jati diri dan sebagainya. 

Kesemuanya ini menjadikan kebajikan masyarakat setempat sama ada anak-anak, para remaja, ibu bapa dan sebagainya sentiasa terjamin dan terpelihara. 

Sudah semestinya, rahsia kejayaan program ini terletak kepada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ``Dan urusan mereka dijalankan secara bermusyawarah sesama mereka.'' (Al-Syura : 38) 

6. Memupuk perpaduan
Perpaduan antara kaum adalah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara kita. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam aman dan damai. 

Bagi mempastikan perpaduan dan kemakmuran ini kekal, ia perlu dimulai dengan hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik adalah jiran yang berjaya memupuk semangat toleransi, percaya mempercayai dan perkongsian bijak antara mereka.

Sekiranya ini diabaikan, maka lambat-laun ia akan mencetuskan bibit-bibit permusuhan dan perkauman yang akhirnya merebak kepada huru-hara, perpecahan dan perbalahan. 



Comments

Popular Posts