Adab Jiran Tetangga Menurut Imam Al-Ghazali

Dewasa ini, kesuntukkan waktu demi mengisi keperluan hidup membuatkan antara kita tidak mengamalkan semangat kejiranan kerana tidak sempat untuk bertegur sapa sesama jiran. Hal ini akan membuatkan perhubungan sesama ahli masyarakat menjadi kurang mesra. Selain itu, kegagalan sesetengah individu memahami konsep kejiranan dengan baik juga akan membuatkan berlakunya perselisihan faham dan akan mewujudkan aura perhubungan yang negatif. Keadaan ini pasti akan memperlahankan proses perpaduan dan boleh menimbulkan perasaan kekok apabila sesakali bersua muka ditempat awam sama ada di pasar malam, surau atau masjid bahkan ketika di kenduri perkahwinan dikawasan kejiranan.

Kepentingan adab berjiran amat penting dan dititik beratkan di dalam agama Islam. Adab semasa pergaulan sesama jiran bermaksud segala sikap, percakapan di dalam perbualan, senyuman, budi, pekerti, perangai, tingkahlaku dan tabiat mestilah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan ianya mestilah bersendikan Al-Quran dan Al-Sunnah. Islam telah menggariskan beberapa adab yang perlu dipatuhi di dalam kehidupan berjiran. Antara yang paling ditekankan ialah ketika berbicara sesama jiran. Hal ini kerana, setiap apa yang dibicarakan oleh seseorang, ia menggambarkan apa yang ada didalam kotak fikirannya serta perangainya. Bagi setiap muslim, semasa bersosial perlu mengelak membicarakan sesuatu yang tidak berfaedah.

Imam Al-Ghazali menukilkan kisah di dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin’ bahawa hak jiran bukanlah sekadar mencegah diri kita daripada menyakiti atau perbuatan yang tidak menyenangkan hati jiran sahaja, tetapi hendaklah bersabar menahan perasaan jika disakiti bahkan lebih daripada itu. Hendaklah kita memberi pertolongan kepada jiran dan menunjukkan rasa kasih sayang. 

Diceritakan bahawa Ibnu Muqaffa’ pada suatu hari mendengar bahawa jirannya akan menjual rumah yang didiaminya kerana hendak membayar hutang yang sudah banyak ditanggungnya. Pada waktu itu, Ibnu Muqaffa’ berkata “Sekiranya dijual, tentu saya tidak memperolehi kerhormatan bernaung di bawah rumahnya”. Tidak lama kemudian, dia menemui jirannya itu dan memberikan wang mengikut kadar rumah itu sebagai sedekah dan berkata, “Janganlah saudara menjual rumah saudara ini”. 


Imam Al-Ghazali juha telah turut menyenaraikan hak-hak seseorang muslim terhadap jirannya untuk kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran yang berguna sebagai panduan bersama ketika berinteraksi dengan jiran tetangga iaitu:

§      1) Hendaklah mendahulukan ucapan salam kepadanya setiap kali bertemu
§      2) Jangan terlalu banyak bertanya kepadanya tentang keadaannya sehari-hari
§      3) Menziarahi dirinya atau kaum keluarganya apabila sakit ataupun ditimpa musibah
§  4)Tunjukkan bahawa kita turut berdukacita dan bersimpati jika mereka ditimpa musibah dan bersegera memberikan pertolongan jika perlu sekalipun tanpa diminta
§      5) Menyatakan perasaan gembira apabila mereka memperoleh kesenangan atau kurniaan Allah SWT
§     6) Ampunilah segala kesalahan-kesalahan atau keburukkannya, baik dengan apa-apa cara sekalipun
§     7) Jangan membuat sesuatu yang tidak menyenangkan jiran kita umpamanya meletakkan batang kayu di dinding rumahnya
§     8) Jangan menyempitkan jalan menuju ke rumahnya
§     9) Jangan mengintai-ngintai apa yang dibawa olehnya ke dalam rumahnya
§    10)Tutuplah kecacatan atau kekurangan yang nampak di matamu dan jangan hebohkan kepada sesiapapun

Comments

Post a Comment

Popular Posts